S E J A R A H     S E K O L A H
Create your own web pages in minutes...
M E N U
Sejarah Sekolah Menengah Kebangsaan Jelapang Jaya


1.  Latar belakang

SMK Jelapang Jaya, Ipoh mula dibina pada 18 Ogos 1998. Bangunan sekolah ini telah diserahkan kepada Kementerian Pendidikan pada bulan Mac 2001 dibawah penjagaan En. Lockman bin Makmun. Sekolah ini dibina bagi menampung keperluan murid-murid di kawasan persekitaran iaitu Kampung Sungai Tapah, Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan, Monjoi dan Jelapang. Bangunan sekolah ini mengambil rekabentuk bangunan terkini yang memberi banyak kemudahan prasarana bagi pembangunan seseorang insan bagi menghadapi perkembangan dunia globalisasi.

Pada 16 Mei 2001, Pengetua SMK Jelapang Jaya, telah dilantik, iaitu Puan Rahimah bt Mohd Sura, PJK. Puan Rahimah berpengalaman sebagai seorang Guru Penolong Kanan HEM dan Penolong Kanan Pentadbiran selama 13 tahun di empat buah sekolah utama di bandaraya Ipoh iaitu, SMK Seri Intan, SMK Fair Park (1988-1991), SMK Raja Perempuan (1991-1993), SMK Seri Puteri (1993-1996) dan SMK St Michael (1996-2001)

En Lockman b Makmun pula merupakan Guru Penolong Kanan Pentadbiran, Puan Nur Aini bt Murah (GPK HEM) dan Puan Norhana bt Mohd Hani (GPK Kokurikulum)

Pentadbiran sekolah berlaku sedikit rombakan apabila pada tahun 2004 jawatankuasa pentadbiran terdiri daripada Puan Zaidah bt Mohd Yusof sebagai GPK Pentadbiran, Puan Norhana bt Mohd Hani pula memegang jawatan GPK HEM dan Puan Hajah Noraini bt Abdullah menjawat jawatan GPK Kokurikulum. Pada Ogos 2004, jawatan GPK Kokurikulum bertukar tangan apabila En Jamlus b Ahmad dilantik memegang jawatan tersebut. Jawatankuasa pentadibiran ini kekal hingga ke saat ini.

Pada tahun 2006, Puan Hajah Norizam bt Husin menjadi peneraju utama sekolah ini menggantikan Puan Rahimah yang bertukar ke SERATAS, Taiping. Beliau telah menjalankan beberapa inovasi dalam pentadbiran dan pengurusan sekolah bagi memantapkan lagi prestasi SMK Jelapang Jaya.

Pada pertengahan tahun 2007, En Amir Sharifuddin Wong dari SMK Pinji telah ditukarkan ke SMK Jelapang Jaya sebagai Penolong Kanan Pentadbiran menggantikan Puan Zaidah yang telah menyambung pelajarannya di IAB. Jasa En Amir hanya setahun di SMKJJ apabila penghujung tahun 2008 beliau telah mengambil cuti tanpa gaji untuk bertugas di Maldives. Kini, tempatnya disandang oleh Puan Wan Norhayati dai SMK Tasek Damai bermula Januari 2009. Pertengahan tahun 2009, jawatan nombor dua bertukar tangan lagi apabila Puan Wan Norhayati bertukar sekolah dan tempatnya digantikan oleh En Hamid bin Mat sehingga kini.

SMKJJ juga mengalami perubahan dari segi sesi persekolahan apabila bermula Januari 2009, SMKJJ memulakan persekolahan dua sesi, dengan Tingkatan Peralihan, Tingkatan 1 dan Tingkatan 2 ditempatkan pada sesi petang. Pantadbiran Sesi Petang diketuai oleh En Abdul Manaf b Asmuni. Selepas itu, Cik Bibi Kismete bt Kabul Khan mengambil alih jawatan Penolong Kanan Petang apabila En Manaf ditukarkan ke Pejabat Pelajaran Daerah Kinta Utara.


2.  Kemudahan Asas

Pada awal penubuhannnya sekolah ini mempunyai bilik darjah (18), bilik makmal (6), bilik Pendidikan seni (1), bilik kemahiran hidup (3), bilik B&K (1), bilik surau (1), bilik gerakan (1), bilik koperasi (1), gelanggang badminton (1), gelanggang sepak takraw (1), padang bola (1), gelanggang bola keranjang (1), pejabat pentadbiran (1), bilik muzik (1), bilik guru (1) dan kantin (1).

Kerja-kerja penaiktaraf kemudahan asas telah dijalan pada tahun 2005 apabila kantin sekolah diubahsuai dan diperbesarkan bagi menampung bilangan murid yang kian bertambah. Pada tahun 2005 juga makmal komputer D9 dinaiktaraf dengan memasang tiles bagi menambahkan kecerian dan suasana lebih kondusif.

Pada tahun 2006, sekolah bertambah ceria apabila bilik guru, pejabat dan makmal computer D8 turut dipasang tiles. Dewan terbuka juga mengalami perubahan dari segi fizikal dengan pemasangan tiles dan cat baru.


3.   Enrolmen pelajar

Pada 1 Jun 2001, semua pelajar yang telah ditukarkan ke sekolah ini dari SMK Dato’ Ahmad Said, Ipoh terdiri daripada pelajar tingkatan 1, 2 dan 4 telah melapor diri. Sekolah ini mula beroperasi pada 6 Jun 2001 dengan bilangan pelajar seramai 550 orang, 28 orang guru terlatih dan 10 orang kakitangan sokongan. Pada tahun 2002, sekolah ini menerima pelajar tingkatan peralihan hingga tingkatan lima dengan bilangan pelajar seramai 1100 orang dengan jumlah 25 buah kelas. Sekolah masih merupakan sekolah sati sesi walaupun bilangan pelajarnya bertambah. Pada Jun 2002,  seramai 280 pelajar tingkatan 1,2 dan 4 dipindahkan ke SMK Jati, Taman Jati, Ipoh yang baru dibuka.

Pada tahun 2003, detik permulaan peningkatan taraf sekolah ini dengan terbentuknya kelas tingkatan 6 aliran kemanusiaan kemanusiaan dengan pelajar berjumlah 150 orang. Sebagai detik permulaan, pelajar peringkat PMR telah menunjukkan prestasi cemerlang setaraf dengan sekolah-sekolah elit di Perak. Ini dapat dilihat dengan pencapaian pelajar tahun 2003 dalamPMR, seramai 4 orang mendapat 8A dan seorang mendapat 8A1 dalam SPM.

Pada tahun 2004, bilangan pelajar menjadi 821 orang dan seramai 132 orang pelajar PMR, 121 pelajar SPM dan 70 orang STPM. Seramai 16 orang pelajar STPM 2004 telah berjaya ke IPTA. Kakitangan akademik juga turut meningkat menjadi 56 orang pendidik.

Pada tahun 2006, bilangan pelajar telah meningkat menjadi 917 orang, dan seramai 184 orang pelajar akan menduduki PMR, 118 orang SPM dan 61 orang STPM. Seramai 18 orang pelajar STPM 2005 berjaya melanjutkan pelajaran ke IPTA.


4.   Penawaran Matapelajaran Elektif

Selain matapelajaran teras, seklolah turut menawarkan beberapa pelajaran elektif diperingkat SPM dan STPM. Bagi pelajar SPM, antara pelajaran yang ditawarkan ialah Fizik, Kimia, Biologi, Matematik Tambahan, Teknologi Maklumat, Teknologi Kejuruteraan, Pendidikan Seni Visual, Muzik dan Ekonomi Asas. Manakala peringkat STPM pula, pelajar boleh memilih sama ada mahu mengambil subjek Pengajian Perniagaan, Ekonomi dan Geografi.

Mata pelajaran Teknologi Maklumat juga diperkenalkan pada tahun 2003 bagi pelajar SPM. SMKJJ mempunyai kemudahan makmal komputer yang lengkap dan terkini dengan 20 buah komputer di makmal D9 dan 20 lagi di makmal D8. Keadaan ini membolehkan semua pelajar SMKJJ mengikuti kelas komputer selaras dengan hasrat melahirkan pelajar yang bermaklumat dan berpengetahuan.


5.   Inovasi

Sebagai Pengetua yang berinovasi Puan Rahimah telah memperkenalkan sistem bilik resos yang telah bermula pada tahun 2002 dan dipraktik sepenuhnya pada 2003. Ia merupakan system ala IPT yang mampu mengurangkan masalah lebihan pelajar dan dapat diteruskan menjadi sekolah satu sesi. Terdapat 42 bilik resos berasaskan matapelajaran di 4 blok bangunan dan setiap bilik resos dipertanggungjawabkan kepada seorang guru. Dalam sistem ini, pelajar akan bergerak mengikut jadual yg ditetapkan tetapi masih ditugaskan manjadi AJK Keceriaan bagi bilik-bilik tertentu. Sistem ini telah menggalakkan pelajar belajar dengan penuh minat kerana tidak perlu duduk dalam satu bilik yang sama sepanjang hari, dan boleh melakukan pergerakan kaki sebagai salah satu daripada senaman ringan.

Dalam bulan April 2003 , sekolah ini telah melancarkan pemakaian seragam unit beruniform pada setiap hari rabu. Pada hari yang sama juga Bahasa Inggeris menjadi bahasa utama dalam sebarang komunikasi oleh seluruh warga sekolah.

Pada tahun 2005, SMKJJ telaj menjadi sekolah angkat bagi Jabatan Perhutanan Negeri Perak. Dengan itu, pasukan Renjer Hutan telah ditubuhkan dibawah pimpinan En Zuhair dan menghasilkan Laman Herba. Bagi memastikan keadaan sekolah selamat daripada ancaman anai-anai, pada tahun 2005 sekolah telah menjalankan kerja-kerja penyenggaraan membunuh anai-anai di blok C dan D.

Tahun 2006 merupakan tahun gemilang SMKJJ kerana mendapat pelbagai anugerah, antaranya mendapat taraf “Sekolah Lima Bintang”, “Koperasi Lima Bintang”, “Perpustakaan Empat Bintang” dan “Sekolah Penggiat Seni Negeri Perak”. Di samping itu, selaras dengan perkembangan ICT, SMKJJ juga mempunyai laman webnya sendiri yang boleh diakses menerusi www.smkjj.com. Sekolah juga mempunyai rangkaian internet broadband yang laju dengan akses tanpa wayar yang boleh dilayari percuma oleh warga sekolah.

Selain itu, SMKJJ juga telah menjalankan beberapa inovasi sebagai platform bagi mempertingkatkan mutu P&P. Antaranya ialah ”Sekolah Budaya”, ”Sekolah Tanpa Rotan”, ”Sekolah Tanpa Loceng”, ”Sekolah Ala IPTA” dan kini sedang berusaha mencapai taraf ISO dan juga Sekolah Bestari.


6.   Pengharapan

Sebagai satu pasukan yang sentiasa berusaha mencari kejuaraan dalam setiap bidang, diharap SMKJJ berjaya menjadi sebuah sekolah cemerlang sesuai dengan VISI dan MISI Pelajaran Negeri Perak. Kami sentiasa mencuba menyahut cabaran dan hasrat ”Komuniti Berilmu Perak Terbilang” demi melahirkan  generasi berkualiti yang sanggup menghadapi era globalisasi serta berdaya saing.

Kejayaan SMKJJ adalah melalui komitemen untuk bekerja sebagai satu pasukan, hubungan penuh hormat dan kasih sayang antara satu sama lain (pelajar, guru, ibu bapa dan komuniti) dan jangkaan yang tinggi untuk setiap orang.

Bersama-samalah kita dengan penuh keyakinan mewujudkan persekitaran yang menyeronokkan kepada pelajar sekolah ini dan bersama-sama membawa kecemerlangan dalam hidup mereka. InsyaAllah.

Copyright © smkjj.com 2009. All Rights Reserved.